A: An Autopsy

My photo
Kuala Lumpur, Malaysia
Adman by day, music writer by night. Closet metalhead on weekends. You may find me weird, but that's just probably you.

I quit smoking and proud of it

Thursday, April 26, 2012

Peraturan pertama adalah, kau tidak bercakap tentangnya

6 bulan yang lepas hidup saya dibebani dengan tekanan perasaan. Saya tidak berpuas hati dengan karier saya. Saya melihat banyak matlamat hidup saya tidak tercapai. Wang sentiasa tidak mencukupi. Hutang semakin bertambah. Saya tidak mempunyai teman wanita. Saya mempunyai ruang sosial yang terhad.Saya tidak mempunyai waktu tidur yang cukup. Hidup saya hanya ke pejabat dan kerja. Di mata saya hanya kerja, kerja dan kerja.


Sehinggalah pada satu malam. Saya pulang lewat daripada pejabat kerana mengejar deadline tugasan. Fikiran saya benar-benar terganggu. Kalau boleh digambarkan, ia bagaikan Empangan Bakun yang pecah, mengalirkan limpahan air yang tidak terkira banyaknya. Saya mencapai melting point ketika itu.Laksana stesen janakuasa Fukushima, gagal mengawal meltdown.Saya lari daripada rutin biasa saya pada malam itu; daripada terus pulang ke rumah dan tidur (yang sememangnya tidak pernah cukup), saya singgah ke sebuah kopitiam.

Saya bukan peminat kopi, tapi malam itu saya memesan kopi o yang paling pekat. Itu langkah yang berisiko kerana saya tidak mempunyai toleransi terhadap kopi, terutamanya pada dos yang tinggi. Saya hanya ingin minum dan tersadai di mana-mana sepasang kaki saya ini larat berjalan. Kali terakhir saya minum kopi dengan dos yang tinggi, saya mengalami sesak nafas dan menggigil sepanjang hari.Ini kerana saya mempunyai penyakit Vertigo, menyebabkan saya tidak boleh menikmati kopi dengan kerap. Saya suka membayangkan bagaimana reaksi orang-orang yang saya kenali apabila saya mati kelak. Adakah saya akan ditangisi? Adakah mereka akan membincangkan perkara-perkara baik yang saya lakukan? Apakah wall Facebook saya akan dipenuhi dengan ucapan takziah?

Kopi o pekat telah sampai. Saya renung cawan yang penuh dengan kopi pekat yang berasap. Hitam. Bagaikan jiwa saya ketika itu. Hitam dengan kedalaman yang tak terjangka. Bak kata orang putih, depthless abyss. Maaf, bahasa Inggeris saya tidaklah lancar. Itu salah satu sebab kenapa saya gagal mencapai impian saya menjadi penulis iklan bahasa Inggeris. Itu juga salah satu sebab saya menjadi tertekan. Seorang Creative Director berkata pada saya, "Your English language is below par. I suggest you to stop looking for job in this industry. We don't need people like you". Mimpi ngeri. Saya menahan air mata daripada keluar dan berkata kepada beliau "Someday, you'll regret it". Saya merupakan pelajar cemerlang dalam kelas saya sewaktu pengajian Periklanan di sebuah universiti tempatan dahulu dan ramai berkata saya bakal menjadi cream of the cream dalam industri periklanan. Betapa kata-kata hanya tinggal kata-kata.

Saya meneguk kopi o pekat. Pahit, macam perjalanan hidup saya.Dalam 15 minit, badan saya akan menggigil. Sistem imun badan akan mula gagal. Saya bersedia kalau ia gagal dan seterusnya menyebabkan cardiac arrest. Saya pasrah. Bersedia untuk melangkah ke alam lain. Berjalan menuju ke tunnel of light. Bebas dari segala bebanan hidup di dunia. Bebas dari tubuh yang menanggung seksaan jiwa dan jasmani semenjak 25 tahun dahulu. Bebas. Bersedia untuk roh ini diangkat keluar daripada tubuh dalam 5, 4, 3 ,2 ,1. Hening.

Eh, saya masih di sini. Saya belum membuka mata. Bunyi hening (saya lebih gemar mengguna istilah dead silence) tadi diganti dengan bunyi hentakan padat bertubi-tubi. Brapp!Brapp!Brapp! Saya masih menutup mata. Barangkali itu bunyi langkah malaikat Munkar dan Nankir untuk bertanya tentang amalan saya di dunia. Serentak itu saya jadi takut sebab saya tahu amal jahat saya melebihi yang baik.Saya tahu soalan yang bakal ditanya macam 'Siapa Tuhanmu' contohnya.Tapi saya masih takut. Kenapa saya masih berdegil hendak minum kopi tadi? Saya membuka mata perlahan-lahan. Gelap.Saya cuba membiasakan dengan suasana gelap dan pada masa yang sama menanti kalau ada bayang susuk tubuh malaikat-malaikat saya sebut tadi. Tiada. Malahan saya sebenarnya masih di kopitiam tadi. Aneh, saya dibiarkan di luar dan kopitiam ini dah menutup operasi lebih kurang sejam yang lalu. Saya terlelap tadi dan pekerja kopitiam langsung tidak mengejutkan saya. Brapp! Brapp! Brapp! Bunyi hentakan padat masih kedengaran. Kalau itu bukan langkah Munkar dan Nankir, apa pula? Saya beranikan diri untuk bangun dan menuju ke arah bunyi Brapp! Brapp! Brapp! tersebut, yang nyata berasal dari lorong tepi kopitiam yang saya tertidur itu. Apa nak jadi, jadilah.

Apa yang saya lihat, merubah kehidupan saya selamanya. Dua insan, tidak berbaju, tidak berkasut mengelilingi sesama sendiri. Berbalas tumbukan. Mengaduh kesakitan setiap kali tumbukan singgah ke bahagian badan.Di sekeliling mereka, lebih kurang sedozen insan lain memerhati. Saya perlahan-lahan menghampiri mereka. Ini bukan pergaduhan jalanan biasa, tukas hati saya. Mereka yang berada di situ, berpakaian pejabat, bertali leher, berkasut kulit, rambut disisir rapi dengan gel rambut..yang tuhan saja tahu berapa banyak dipakai untuk gaya rambut seperti balung ayam. Mereka ini, golongan kolar putih yang menghabiskan waktu siang mereka dengan tugasan di pejabat. Saya memberanikan diri bertanya kepada salah seorang daripada penonton, 'bro, ini apa?kenapa diorang bertumbuk?' yang hanya disambut dengan jawapan ‘peraturan pertama Kelab Gasak adalah, kau tak bercakap tentangnya' lantas meletak jari di bibir menandakan perbualan tamat di situ. Soalan yang sama saya tanyakan kepda 2, 3 orang berdekatan, semua dengan jawapan yang sama. Seorang lelaki yang tidak berbaju, berambut cacak seperti Khairul Fahmi Che Mat, menarik saya dan berkata'ini malam pertama kau di Kelab Gasak bro, jadi kau kena lawan!'. Serentak dengan itu perlawanan antara dua lelaki saya sebut tadi berakhir. Salah seorang telah melayangkan tangan ke udara tanda menyerah.Wajah masing-masing dipenuhi darah, hidung kemik, mata lebam dan gigi melayang keluar sebatang dua. Aneh, mereka masih mampu bergelak-ketawa. Saya enggan berlawan, tetapi mungkin kerana saya merasakan apa bezanya kalau saya ditumbuk sekalipun, saya tetap seorang loser kalau saya menang, maka saya maju ke hadapan gelanggang pergaduhan. Barangkali kesan kafein mempengaruhi keputusan saya untuk bergaduh. Entah.

Apa yang berlaku, merubah kehidupan saya selamanya. Malam itu saya rasakan masalah yang membelenggu saya hilang dengan setiap tumbukan saya layangkan. Lawan saya seorang lelaki berwajah persis model. Ini untuk kerja saya yang shitty, brapp! Ini untuk kehidupan romantik saya yang sepi, brapp! Ini untuk layanan tidak adil terhadap saya oleh semua orang, brapp! Untuk 20 minit, saya rasakan sayalah raja gelanggang itu. Wajah kacak lawan saya, remuk dikerjakan seiring dengan pukulan yang saya berikan.Darah pekat hitam menyembur bak paip bocor, hidung yang mancung saya jadikan bengkok umpama jalan ke Bukit Putus. Saya menang, dengan 'hadiah' yang saya bawa pulang; mata kiri yang lebam, benjolan di dahi sebesar telur itik dan gusi yang berdarah.

Malam itu saya tidur lena. Lena bagaikan saya bayi berumur 7 bulan. Saya anggap ini sebuah terapi untuk saya mengalihkan tekanan hidup yang dihadapi. Selepas itu, saya berubah. Saya jadi asyik untuk ditumbuk dan menumbuk. Aneh. Saya jadi asyik dengan kesakitan. Bak kata orang putih, pain for pleasure.

Kelab Gasak menjadi rutin mingguan saya, 3 kali seminggu. Ia bagaikan persidangan golongan kolar putih untuk membincangkan isu-isu kehidupan. Bezanya kami berbincang dengan buku lima serta tendangan. Usai berlawan, kami berkawan semula. Malahan ada yang menjadi rakan karib.Kelab Gasak menjadikan kami lebih berdisiplin. Langgar peraturan, anda akan dibuang. Kuku haruslah disimpan pendek.Tiada dadah, tiada arak. Kelab Gasak adalah punca untuk saya kekal sihat, mengawal pemakanan dan rajin singgah ke gym. Kelab Gasak menjadikan saya lebih 'sharp’, baik dari segi tumpuan mahupun dari segi perbualan.Kelab Gasak mengembalikan keyakinan saya untuk berdepan dengan dunia. Kini saya mempunyai teman wanita, yang kalau saya sebut namanya pasti kalian tahu kewujudannya dalam industri hiburan. Tapi tak perlulah rasanya. Semua ini saya terhutang budi kepada Kelab Gasak yang membentuk saya menjadi lebih yakin dengan keupayaan diri. Bukan, bukan parut bergaduh yang menarik perhatian si tersayang. Bukan itu saya maksudkan. Keyakinan saya untuk berdepan dengan kekasih hati itu yang saya maksudkan. Kualiti di tempat kerja juga semakin meningkat. 3 bulan yang lepas saya dinaikkan pangkat menjadi sub-editor. Kelab Gasak telah membuka mata saya untuk menjadi lebih 'sharp' dan 'attentive', entah kenapa setiap kali diberikan tugasan, saya sentiasa terbayangkan perlawanan pertama saya di Kelab Gasak. Penuh dengan tanda tanya tetapi stimulating. Saya jadi teruja, bagaikan saya diperkuatkan dengan suntikan antibodi berpuluh-puluh dos.

Saya terhutang budi dengan Kelab Gasak yang menjadi pemangkin kepada perubahan hidup saya. Ya, anda mungkin bertanya ‘kenapa bercerita tentang Kelab Gasak sedangkan peraturan pertama Kelab Gasak adalah anda tidak bercakap tentang Kelab Gasak?’. Benar. Saya tahu. Saya dapati jumlah ahli Kelab Gasak semakin bertambah semenjak 6 bulan lepas, bermakna peraturan pertama ini telah banyak kali dilanggar. Dan saya rasa ramai individu di luar sana seperti saya, mencari jalan untuk melepaskan tekanan dengan positif dan sihat. Tiada yuran keahlian, tiada kad keahlian dan tiada nombor untuk dihubungi. Tiada Facebook, tiada laman web, tiada apa-apa. Kami adalah individu yang berkongsi kesengsaraan jiwa yang sama dan inginkan ia dilepas dengan cara yang positif. Kami berada di mana-mana, kami mungkin berada di kawasan anda. Jika individu-individu di kawasan anda menunjukkan ciri ciri seperti wajah lebam. wajah berjahit, bergigi rongak, memakai neck braces seumpamanya, bererti Kelab Gasak berada tidak jauh dari anda. Ikuti mereka dan tanyalah soalan seperti ‘anda bergaduhkah?’ dan sekiranya mendapat jawapan yang menyatakan peraturan pertama Kelab Gasak, anda semakin hampir. Semoga anda mencapai perubahan yang diinginkan. 


Tahrir Daniel

post script: Kalau lu orang masih tertanya-tanya, ini adalah salah satu scam ads yang gua buat waktu memohon kerja di ME. Buat yang familiar dengan kerja-kerja Chuck Palahniuk, kalian pasti dapat meneka scam ini berinspirasi dari mana. ECD yang meneliti Kelab Bergasak tidak berapa teruja dengan copy ini kerana terlalu panjang untuk sebuah print ad, tapi secara peribadi adalah piece of writing paling dramatik gua pernah tulis kahkah.


4 comments:

Anonymous said...

Teruja semasa membacanya.
Mungkin orang yang tidak menyukai karya ini tidak pernah berada di situasi yang memerlukan "fight club".

A, is for Anomaly said...

Mungkin. Lain orang lain pemahaman.

Azyze said...

Eleh, ECD tu eksyen je lebih. Dia reject pasal tak sesuai ngan client's requirement, jadi dia buat-buat muka kekwat. Padahal dia dah buat satu salinan, tampal kat dalam almari dia sebagai inspirasi.

At least that was what happened with one of my pieces ;)

A, is for Anomaly said...

On the contrary, ECD itu yang hire saya :) Saya buat long copy kerana nak buktikan long copy is not dead..or so I thought. What do you think?

Related Posts with Thumbnails